Aug 18, 2010

Siapa nak jadi JUTAWAN?

Inilah yg saya maksudkan kiranya anda merupakan salah seorang yang berhasrat untuk menjadi jutawan. Dengan mengamalkan pembacaan ayat suci Al-Quran secara kerap dan istiqamah, sesiapa pun bakal mencapai taraf jutawan bahkan lebih lagi. Bukan susah pun kan? Tapi yang paling sukar ialah memperuntukkan masa untuk membaca ayat2 suci tersebut, betul tak? Pada yang sudah berjaya, saya ucapkan tahniah dan semoga anda beristiqamah dalam mengamalkannya. Pada yang belum berjaya lagi, marilah kita berusaha bersama-sama agar dapat mencapai taraf tersebut. Bila baca Al-Quran tu, jangan lupa jeling-jeling sedikit pada terjemahannya, bukan apa, memandangkan bukan semua antara kita pandai berbahasa Arab, jadi elok lah kita membaca terjemahannya sekali supaya dapat memahami apa yang telah dibaca.


Analogi Tingkatan Pembacaan al-Quran setiap malam ni saya ambil dari buku karangan Ustaz Dato' Ismail Kamus & Ustaz Azrul Azlen yang bertajuk Indahnya Hidup Bersyariat. Sukar rasanya hendak menghabiskan pembacaan. Ada sahaja sesuatu yang baru setiap kali meneruskan pembacaan. Sekiranya membaca buku ini sama seperti membaca buku2 cerita yang saya miliki, sudah tentu saya dapat menghabiskannya dalam 1 minggu sahaja malahan mungkin 1 hari. Tapi membaca buku-buku begini memerlukan penghayatan dan analisis supaya setiap yang dibaca itu melekat dalam hati. Bagi saya yang baru berjinak-jinak dengan buku-buku begini, tidak dinafikan, memang sukar. Bagi yang mahu mendapatkan buku ini, muka depan buku ada saya sertakan di sebelah.

Kita sambung sedikit tentang topik jutawan ni. Bilakah masa yang diutamakan untuk membaca Al-Quran? Jangan salah faham ya!! Al-Quran boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja. Tetapi waktu yang utama sebagaimana yang dinyatakan dalam buku ini, ada 3 waktu: waktu tengah malam sehingga terbit fajar adalah yang paling utama, antara Maghrib dan Isyak, dan sesudah solat Subuh.

Jadi, apa kelebihan membaca Al-Quran? Antara kelebihannya yang dapat saya ambil dari buku ini ialah:

  1. Ibadah yang paling utama dari segi bacaan-maksudnya kita perlu utamakan pembacaan al-Quran lebih dari buku-buku yang ada.

  2. Pahala membaca satu huruf daripada Al-Quran. Menurut Ibn Majah digandakan hingga 400 kali dan Ib al-Jauzi pula berpendapat digandakan sebanyak 700 kali.

  3. Balasan satu huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga, juga dikatakan balasan sebatang pokok di syurga.

  4. Mengikut Ibn Abbas r.a., pembaca Al-Quran ialah seorang hartawan dan pahala membaca tidak akan putus.
Ini sedikit sahaja kelebihan membaca Al-Quran yang dapat saya coretkan di sini. Semoga ia dapat memberi kita semangat untuk membaca Al-Quran dengan kerap dan istiqamah, Insya Allah. Sama-samalah kita berusaha!!

No comments: